Selasa, November 7

Terima seadanya

Kita tidak akan terlepas daripada musibah yang berupa kesakitan. Maklumlah kita insan yang terkadang lalai, melakukan dosa. Dosa adalah sesuatu yang menjauhkan kita dari Allah. Jadi, kesakitan adalah salah satu cara Alah untuk menghapuskan dosa kita. Setiap kesakitan yang Allah berikan kepada kita semua dengan kehendak dan izinNya. Kadang-kadang dengan kesakitanlah menjadikan kita sedar akan nikmatnya sihat. Belajarlah menerima satu bebanan kesakitan itu dengan sebaiknya. Kerana Allah mendatangkan kesakitan itu bukan sebagai satu bebanan, pasti kita boleh bertahan kerana Allah tahu kita mampu hadapi kesakitan itu dan juga kerana Allah sayang akan hamba-hambanya. Setiap kesakitan yang kita hadapi akan mengkifarahkan dosa kita. Bagaimana pula dengan sakit batin? Sakit yang tidak dapat dilihat melalui luaran. Kalau kita sakit fizikal kita boleh bertemu doktor untuk meminta ubat tetapi berbeza dengan sakit batin yang berpunca dari dosa-dosa yang kita lakukan yang akhirnya mengakibatkan hati kita menjadi hitam dan keras. Apabila hati dah hitam, susah untuk kita nak buat ibadah. Penyakit batin seperti dendam, dengki, menipu, bongkak semuanya berpunca dari hati yang sakit. Hati yang sakit/hitam memberi kesan kepada seluruh badan. Petikan:Nabi SAW bersabda maksudnya :"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)